.............................................
"Aku tak akan maafkan kau sampai bila-bila!"
............................................
*adakah memaafkan itu menghalalkan perbuatan salah?*
Bila kita memaafkan seorang pencuri, apakah kita menghalalkan tindakannya mencuri? Bila kita memaafkan seorang yang menganiayai kita, apakah kita menghalalkan tindakannya menganiayai kita?
Tidak. Perbuatan salah itu tetap salah.
Adakah memaafkan itu bermaksud tidak menegur?
Tidak. Kita tetap menegur.
Beza orang yang memaafkan menegur, dengan orang yang marah-marah menegur, orang yang memaafkan itu lebih bersih tegurannya. Dia tidak bersalut emosi yang melampau. Dia menegur memang betul-betul kerana dia faham tanggungjawabnya untuk menegur.
Apakah memaafkan ini bermaksud kita tidak boleh marah?
Tidak. Kita boleh marah. Tetapi bagaimanakah marah yang sebenarnya? Terbina di atas apakah kemarahan kita? Semestinya kita marah pun, mengikut neraca Allah SWT.
Memaafkan adalah untuk kita sebenarnya. Dengan memaafkan, bermakna kita sedang taat kepada Allah SWT. Memaafkan, bermakna kita sedang berusaha menenangkan jiwa kita.
Syaitan, menjadikan amarah manusia, sebagai kuda tunggangannya.
(
Sulam Kaseh, n.d.)
*sedangkan*
Allah SWT berfirman;
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(Siapakah orang-orang yang bertaqwa?) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”
(Surah Ali Imran ayat 133-134)
"...Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas tanggungan Allah."
(Surah Asy-Syura ayat 40)
“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
(Surah An-Nuur ayat 22)
"Jangan ada yang berkata: "Tiada maaf bagimu". Ahli hikmah mengatakan: Ingatlah dua hal dan lupakanlah dua hal. Lupakanlah kebaikanmu kepada orang lain dan lupakanlah kesalahan orang lain kepadamu. Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri."
Rasulullah saw bersabda:
"Setiap manusia pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT".
Dari Uqbah bin Amir, dia berkata:
"Rasulullah SAW bersabda, "wahai Uqbah, bagaimana jika ku beritahukan kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi orang yang tidak mahu memberimu dan maafkanlah orang yang telah menzalimimu."
(Hadis Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baghawy).
"Sungguh, kemaafan itu adalah perhiasan jiwa hingga hidup yang sukar ini terasa ringan, perjalanan yang penuh duri dan ranjau yang menakutkan nampak begitu indah dan menenangkan. Kita boleh mengeluh kekecewaan namun ianya tidak akan mengubah apa-apa selain dari menjadikan jiwa kita semakin lemah menongkah kehidupan. Namun kemaafan akan meringankan bebanan yang kita tanggung hingga kita mampu tersenyum dalam kedukaan. Dan senyuman itulah tandanya bahawa hati kita masih hidup, masih hidup untuk menempuh kehidupan."
(
Abu Umar, Langit Ilahi, 2011).
*********************************************************
Maafkan diri ini yang mungkin pernah menyakiti hati sesiapa dalam keadaan sedar mahupun tidak. Diri ini cuma insan biasa, yang tidak lepas dari membuat kesalahan juga terkadang tidak mampu menahan diri daripada bersifat ego dan marah. Segala perbuatan serta kata-kata yang telah dilontarkan, fahamilah, marah sedang menguasai dan saya mengakui diri sangat malu terhadap tindakan sendiri. Oleh itu, maafkanlah. Saya hanya inginkan kedamaian dan jika ada yang berselisih pendapat dengan anda, maka fahamilah alasan di setiap keterangan itu. Mengertilah dan perbetulkanlah jika itu adalah kesalahan saya. Tapi janganlah sesekali mencaci, menghina, juga mengherdik. Ketahuilah bahawa, semua itu bukan hanya merendahkan semangat seseorang tetapi juga memburukkan keadaan.
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;”
(Surah Al-Furqaan ayat 63)
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Hapuskan minda negatif, sentiasa berfikiran positif. Anda berhak menilai sesiapa sahaja, dan sudah tentu tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Saya memaafkan sesiapa yang pernah menyakiti hati ini. Saya bersyukur, kerana dengan kehadiran mereka, saya lebih sedar siapa diri saya dan saya juga sedar, adalah penting untuk menilai sesuatu yang selama ini tidak pernah terlintas di minda sendiri. Erti kata lain, menilai atau cuba memahami pendapat orang yang lain yang sangat berbeza. Selain itu, saya juga akan cuba untuk menahan diri daripada sifat marah serta mengelakkan diri daripada bercakap ketika marah. Sesungguhnya, Allah tidak suka dengan orang yang berkata-kata kasar. Kata-kata itu ibarat pedang yang tajam, yang mampu menyakiti hati sesiapa yang mendengarnya. Oleh itu, terima kasih untuk mereka yang hadir dalam hidup saya termasuk anda yang membaca ini. Maafkan saya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Semoga kedamaian ini berpanjangan. InsyaAllah, Amin... :)
*********************************************************
"Be the first to ask for forgiveness and forgive them sincerely. Then leave it to Allah, don't ever stop praying. By doing so, you won't lose anything but you will get everything."
~Rosa Cassandra, 2013~